Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sifatkan pendedahan Nik Abduh rugikan parti

30 04 2009

BLOGGER Nik Abduh semalam dipanggil Badan Perhubungan PAS Kelantan memberi penjelasan mengenai tulisan “Kerja-kerja Bodoh” dalam PAS yang dimuatkan dalam blognya dan dipetik media cetak lain, lapor Wan Johari pada blognya jiwokelate.

Menurut sumber, Nik Abduh dinasihat supaya menarik balik semua tulisannya yang menyebabkan kecelaruan banyak pihak dalam PAS. Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan Umno menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abdul Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato’ Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.

“Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.

“Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Terdahulu Bernama melaporkan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa badan itu masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Abdul Hadi.

Timbalan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan bapanya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Abdul Fatah Haron yang juga Ahli Dewan Harian Pas Kelantan berkata, tulisan Nik Abduh dalam blog bahawa bapanya diberi maklumat tidak tepat oleh para pembantunya mengenai kerajaan perpaduan, memberi gambaran seolah-olah Nik Abdul Aziz tiada pemikiran sendiri dalam membuat keputusan politik.

“Sepatutnya sesiapa (ahli parti) yang menulis dalam blog atau apa saja berhati-hati dalam penulisan mereka. Sehingga hari ini rakyat beri kepercayaan penuh kepada tok guru.

“Jadi jangan buat sampai tok guru hilang kredibiliti. Apabila ditulis sedemikian seumpama tok guru tiada buah fikiran sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai siapa yang mungkin dimaksudkan Nik Abduh, Abdul Fatah yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan berkata, semua rakyat dan ahli PAS adalah pembantu Nik Aziz.

“Pembantu ayahnya adalah semua orang. Nik Aziz apabila mendengar pandangan sama ada dalam parti atau kerajaan tidak pernah menerimanya bulat-bulat. Sebaliknya beliau akan mendengar semuanya dan akhir sekali melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah sebelum membuat keputusan,” katanya.

Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.

Mohamed Daud yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.

Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.

“Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai. Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.

“Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan,” ujarnya.

Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama. Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan Naib Presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.

Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.

“Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam,” katanya.

Advertisements

Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: