PAS Will Return To BN in June

30 04 2009

By Kickdefella

Perdana Menteri baru ada “task force” (jawatankuasa bertindak) untuk meneruskan perbincangan tentang penyatuan Melayu ni dengan PAS – Wrote Reme from Temasik.

Original Posting

PAS will join Barisan Nasional in June 2009. After it’s pact with other opposition parties had created history, PAS is ready to undress its opposition uniform once again.

Scary? Maybe. Betrayed? Yes.

I received an sms from a buddy in Singapore that later lead me to double-check his query with another buddy in KL.

I was told “everything is on track bro”.

But why June? Perhaps PAS members know better.

Meanwhile I found this piece from Malaysia Kini,

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.           Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan tersebut adalah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

“Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib). 

“Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-52 PAS kawasan Bachok, hari ini, lapor Bernama.

 

 

 

 

And I counter check with Harakahdaily and found this interview with Haji Hadi by Khairul Azlam Mohamad,

Question: Tapi Dato’ Seri, masih ramai orang yang tidak faham termasuk ahli-ahli PAS sendiri?

 

Answer: Inilah masalahnya. Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju. Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa ‘Unity Government’. Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu. Saya tarik balik sehingga orang kita faham betul-betul. 

Will PAS members understand it by June?

Nevertheless, it will certainly be in June.





Kenyataan Husam Berhubung Pencalonannya Untuk Timbalan Presiden PAS

30 04 2009

Sehingga hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.

Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden.Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.

Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.

Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.

Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.

Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.

Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.

Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.

Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.

Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.

Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.

Saya harap Pas dapat diperkukuhkan dan diperkasakan lagi dalam kepimpinan ulama kita supaya disayangi dan disegani ke arah Pilihan Raya Umum ke 13.

HAJI HUSAM MUSA
NAIB PRESIDEN PAS
29 April 2009
Kota Bharu, Kelantan

Kenyataan di atas disesuaikan dari sessi soal jawab dengan pihak media massa di Kilang Nur Abadi Garments, Zon Perindustrian Pengkalan Chepa pada 29 April 2009.





Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sifatkan pendedahan Nik Abduh rugikan parti

30 04 2009

BLOGGER Nik Abduh semalam dipanggil Badan Perhubungan PAS Kelantan memberi penjelasan mengenai tulisan “Kerja-kerja Bodoh” dalam PAS yang dimuatkan dalam blognya dan dipetik media cetak lain, lapor Wan Johari pada blognya jiwokelate.

Menurut sumber, Nik Abduh dinasihat supaya menarik balik semua tulisannya yang menyebabkan kecelaruan banyak pihak dalam PAS. Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan Umno menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abdul Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato’ Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.

“Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.

“Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Terdahulu Bernama melaporkan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa badan itu masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Abdul Hadi.

Timbalan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan bapanya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Abdul Fatah Haron yang juga Ahli Dewan Harian Pas Kelantan berkata, tulisan Nik Abduh dalam blog bahawa bapanya diberi maklumat tidak tepat oleh para pembantunya mengenai kerajaan perpaduan, memberi gambaran seolah-olah Nik Abdul Aziz tiada pemikiran sendiri dalam membuat keputusan politik.

“Sepatutnya sesiapa (ahli parti) yang menulis dalam blog atau apa saja berhati-hati dalam penulisan mereka. Sehingga hari ini rakyat beri kepercayaan penuh kepada tok guru.

“Jadi jangan buat sampai tok guru hilang kredibiliti. Apabila ditulis sedemikian seumpama tok guru tiada buah fikiran sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai siapa yang mungkin dimaksudkan Nik Abduh, Abdul Fatah yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan berkata, semua rakyat dan ahli PAS adalah pembantu Nik Aziz.

“Pembantu ayahnya adalah semua orang. Nik Aziz apabila mendengar pandangan sama ada dalam parti atau kerajaan tidak pernah menerimanya bulat-bulat. Sebaliknya beliau akan mendengar semuanya dan akhir sekali melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah sebelum membuat keputusan,” katanya.

Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.

Mohamed Daud yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.

Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.

“Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai. Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.

“Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan,” ujarnya.

Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama. Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan Naib Presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.

Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.

“Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam,” katanya.





Ulama’ Mi celup persepsi peribadi Nik Abduh-Dr Siti Mariah

30 04 2009

Exco Dewan Muslimat Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menafikan terdapat ‘ulama mi celup’ dalam parti itu. Menurut beliau, tindakan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz membuat kenyataan mengenai wujudnya golongan ulama ‘mi celup’ yang hanya menghafal istilah-istilah agama namun tidak diamalkan, adalah satu tindakan yang tidak bijak.

“Beliau tidak seharusnya membuat kenyataan seperti itu dan tidak perlu menonjolkan masalah dalaman Pas. “Saya lihat isu ini semakin berlarutan dan kenyataan beliau menjadi senjata bagi UMNO untuk membuat serangan ke atas Pas,” katanya.

Beliau berkata, apabila Nik Abduh mengeluarkan kenyataan termasuklah menerusi blognya sebagai contoh, mengenai terdapat puak-puak dalam kepimpinan Pas, itu adalah persepsi beliau sendiri memandangkan Nik Abduh juga adalah ahli politik.

“Dakwaan Pas menggunakan pendekatan ‘menghalalkan cara’ dengan mengizinkan perkara yang sepatutnya tidak boleh dilakukan bagi mendapatkan sokongan, perlu dikemukakan bukti yang kukuh bagi menunjukkan parti ini menyalahi hukum Islam,” katanya.





Saya juga Ulama’ Mi Celup-Khalid Samad

30 04 2009

Jawapan yang menarik dari Yb. Khalid Samad terhadap tuduhan liar Nik Abduh. Jangan main-main dengan erdogan ha…beliau memang calon paling sesuai untuk Ketua Penerangan. Pantas dan bijak mengulas isu.

Mi Celup

Oleh YB. Ir. Khalid Samad

Saya diminta memberikan pendapat oleh beberapa orang berhubung tuduhan serius yang dilemparkan oleh anakanda Nik Abduh dalam blognya. Saya jarang mengunjung blog beliau dan oleh itu tertanya-tanya apakah tuduhan serius ini? Hari ini, diberikan kesempatan dan ruang masa oleh Allah, maka saya membaca postingnya yang bertajuk ‘kerja-kerja bodoh dalam pas’. Setelah selesai membacanya, saya memahami mengapa ada yang meminta saya mengulas.

Walaupun saya bukan ulama’ dan tidak pernah mengaku diri saya seorang ulama’ namun oleh kerana tulisannya menyentuh parti yang telah saya habiskan lebih separuh dari hidup saya di dalamnya, saya rasa saya berhak untuk memberi komen. Walaupun saya ini mungkinlah dianggap olehnya sebagai di antara ‘mi celup’ tersebut.


Untuk memudahkan semua, khususnya untuk mereka yang mi celup seperti saya, pendapat saya akan dikemukakan dalam bentuk point seperti di bawah.

1. Tuduhan Yang Dibuat
Saya sebenarnya terkejut dengan tuduhan yang dibuat. Pembantu-pembantu TGNA melagakan TGNA dengan TGHH? Kalau betul, kenapa tidak Nik Abduh beritahu perkara ini kepada ayahandanya sahaja? Apa? TGNA tak akan percaya? Hmmm… Kalau TGNA tak percaya, kenapa pula kita nak percaya? Semestinya TGNA lebih tahu samada tuduhan itu tepat atau sebaliknya. Apakah TGNA tak mampu memahami hujjah-hujjah yang dikemukakan yang begitu lantang mendoakan pembantu-pembantunya dibalas Allah atas kejahatan mereka? Samada TGNA tak mampu memahami atau ada hujjah disebaliknya yang tidak mampu Nik Abduh sendiri memahami? Saya rasa yang kedua adalah lebih tepat.

Kalau nak menuduh pun, bukan ini caranya. Takkan tuduh secara borong! Adakah semua pembantu-pembantu TGNAA yang jahat? Saya rasa kalau ditanya, ramai, mungkin separuh dari rakyat Kelantan, akan mengakui mereka pembantunya! Yang dimaksudkan sebagai pembantu ini pula pembantu yang macam mana? Yang pegawai kerajaan ke, yang pegawai parti ke, yang pemimpin parti ke? Yang kawan rapat ke? Dato’ Husam ke? Anual Bakri ke? Nik Amar ke? Yang mana satu? Atau kesemua mereka?

Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggung jawab dan mengundang fitnah. Hasil dari tuduhan ini akan wujud suasana syak wasangka dan saling tuduh menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu. Itu kalau orang tak matang. Tetapi saya harap ahli PAS yang telah matang akan mampu melihat tuduhan ini sebagai tuduhan kosong yang tidak layak diberikan layanan. Tiada bukti yang dikemukakan kecuali andaian.

Sepatutnya, kalau nak tuduh, sebut siapa dan kemukakan bukti. Kalau belum ada bukti, usahakan cari. Sabar, bila ada bukti barulah kemukakan. Jangan buat kenyataan yang kurang matang yang mengundang fitnah.

Sebenarnya saya sendiri khuatir Nik Abduh yang diperalatkan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam PAS, khususnya yang di negeri Kelantan. Cuba lihat kenyataannya, “Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”.

Nik Abduh diberitahu. Bukan dia dengar sendiri. ‘Sumber’ yang dia rasa boleh dipercayai tidak semestinya orang yang boleh dipercayai. Kalau nak bandingkan TGNA dan Nik Abduh, sudah jelas siapa yang lebih berpengalaman dengan tipu-helah manusia. TGNA lebih mampu memilih orang kepercayaan yang boleh dipercayai berbanding Nik Abduh. Adakah kita diminta menolak orang kepercayaan TGNA supaya berpegang kepada orang kepercayaan Nik Abduh? Saya rasa bukan orang kepercayaan TGNA yang memperalatkan TGNA tetapi orang kepercayaan Nik Abduh yang memperalatkan Nik Abduh. Itu saya rasa jauh lebih mudah untuk dilakukan.

Lagipun, tengok sahaja kepada maklumat yang diberikan kepada Nik Abduh. “Menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”. Ini memang maklumat batu api. Saya rasa anakanda Nik Abduh kena matang sikit bila menerima maklumat supaya tidak mudah di permainkan orang.

2. Perbezaan Pendapat Satu Rahmat
Bagi saya memang ada perbezaan pendapat dalam soal hubungan kita dan BN di antara TGNA dan TGHH. Perbezaan pendapat ini perkara biasa dan tidak merupakan satu masalah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ulama’ seperti TGNA dan TGHH kerana mereka memahami dan menghayati ‘adabul ikhtilaf’. Itulah sebabnya walaupun berbeza pendapat, TGNA memuji kemampuan dan kebolehan TGHH berhujjah dalam Parlimen. TGNA bukan macam kita. Bila tak setuju atas satu perkara, maka semuanya tak betul.

Begitu juga, oleh kerana adabul ikhtilaf ini, TGNA tidak membuat tuduhan liar bahawa TGHH diperalatkan pembantunya atau memperlekehkan peribadi pembantu-pembantu ini. Seperti TGNA, saya rasa TGHH juga ada para pegikutnya ke serata tempat. TGNA memahami perbezaan pendapat ini atas persoalan yang dibenarkan adanya perbezaan pendapat.

Kenyataan Nik Abduh bahawa “ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya” adalah tidak tepat. TGNA tak pernah menerima ‘muzakarah’ dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah’. Ulama’ mi celup pun faham beza muzakarah dan muqabalah, tak kan yang ‘ulama’ mi goreng’ tak faham? (Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali).

Begitu juga penggunaan istilah-istilah menghina sahabat-sahabat seperjuangan. Jangan oleh kerana perbezaan pendapat kita mula menghina dan mencaci sahabat-sahabat kita sendiri. Saya harap budaya ini ditamatkan dan sebagai pemimpin pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik. Biar kita berhujjah tetapi hayati adabul ikhtilaf seperti sepatutnya, seperti yang dilakukan ayahanda. Istilah-istilah seperti ‘pejuang nafsu’, ‘ulama’ mi celup’ dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh.

3. Musyarrakah Fil Hukumah
Saya rasa soal keperluan seseorang Muslim dan lebih-lebih lagi sebuah gerakan Islam untuk melibatkan diri dalam sebuah kerajaan bukan Islam atas syarat-syarat seperti yang disebut oleh Nik Abduh tidak menjadi pertikaian. Itulah mengapa soal Tahalluf Siyaasi diamalkan sehingga membawa kepada musyarrakah fil hukumah atau pengongsian dalam pemerintahan.

Bila saya membaca hujjah yang disebut, khususnya kes Nabi Yusuf AlaihisSalaam, teringat saya akan episod tahun 80an apabila hujjah ini digunakan oleh Anwar Ibrahim semasa beliau, bersama beberapa ahli ABIM, masuk UMNO. Pada masa itu orang PAS marah kerana terasa dikhianati kerana selama ini, sebelum itu, Anwar dilihat bersama PAS walaupun menyokong melalui ABIM. Sepatutnya, PAS yang pernah terasa dikhianati memahami betapa marahnya perasaan orang yang dikhianati.

Atas kefahaman yang sama, bahawa pengongsian kuasa ini boleh dilakukan, atas syarat-syarat tertentu, PAS menyertai BN pada tahun awal 70an. Dalam kedua-dua peristiwa ada untung dan ada ruginya. Ramai berpendapat, tetapi mungkin belum mencapai tahap ijma’, lebih rugi dari untung.

Dalam perkara ini, jelas bahawa hukumnya bergantung kepada samada ianya menguntungkan atau merugikan perjuangan Islam. Oleh itu syarat-syarat perlu ditentukan dan perkiraan untung rugi diambil berat. Dalam soal untung rugi ini, semestinya akan ada perbezaan pendapat kerana ianya berhubung bacaan seseorang terhadap suasana politik dan tindakan yang paling berkesan untuk memanfaatkan suasana tersebut demi perjuangan Islam. Bagi sesetengah pihak jawatan menentukan secara muktamad untung-rugi sesuatu tindakan. Bagi sesetengah yang lain, bukan jawatan tetapi kesedaran dan sokongan rakyat.

Saya akan kupas persoalan ini secara lebih terperinci kemudian di bawah ini.

4. Soal Kerajaan BN Dan Kerajaan PR
Nik Abduh menyebut “Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua – duanya bukan daripada jenis negara Islam.” Betul dan saya cukup bersetuju dengan kenyataan ini. Ini kembali kepada kefahaman kita berhubung persoalan ‘Musyarrakah fil hukumah’, kita berkongsi kuasa dan oleh itu tidak boleh menganggap kita berkuasa seorang diri maka semuanya mesti ikut kehendak kita. Namun beradanya kita sebagai rakan kongsi mesti menguntungkan perjuangan yang dibawa kita.

Yang saya tidak setuju ialah bagaimana beliau meletakkan BN dan PR itu sebagai sama sahaja. Mungkin dia lupa bahawa kita bersama PR dan atas kebersamaan kita, telah kita mendapat sokongan dan undi dari masyarakat yang sebahagiannya belum lagi menyokong perjuangan PAS. Untuk meletakkan BN dan PR pada taraf yang sama dalam perkiraan kita merupakan satu penafian hakikat suasana politik yang kita wujudkan bersama. Atau beliau baru bangun tidur dan tidak sedar semua yang berlaku sebelum dan selepas PRU ke-12?

Bagaimana kita boleh menilai secara tepat soal untung rugi sesuatu tindakan kalau kita tidak mampu meletakkan konteks penilaian kita dengan betul dan tepat? Kita bersama PR dan atas nama PR, kita memerintah beberapa negeri. Ya, saya tahu. PR hanya wujud selepas PRU ke-12 tetapi itu tidak menafikan kerjasama BA (iaitu PAS dan PKR) bersama DAP dalam menghadapi PRU ke-12. Undi masyarakat Cina dan penyokong DAP untuk kita dan undi kita untuk mereka dalam menentang BN? Begitu juga masyarakat India dan lain-lain. Kebencian rakyat terhadap BN yang memungkinan pengundian sebegini berlaku! Dan apakah setelah kita mencapai kemenangan, melalui sokongan ini, kita berpaling dan mengatakan BN dan PR sama sahaja?

BN dan PR tak sama. Kita ada pakatan dan perjanjian bersama PR dan kita tidak akan khianati mereka selagi mereka tidak khianati kita. Sila rujuk ayat 91 hingga 95 Surah An-Nahl dan jelaskan kepada semua Maqasidnya serta Asbabun Nuzulnya. Saya bukanlah ulama’ maka harap yang merasa dirinya ulama’ (yang bukan jenis mi celup) sila jelaskan.

5. Untung Rugi Perjuangan
Soal apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan perjuangan memang penting. Tetapi yang mesti untung adalah perjuangan, bukan diri kita sendiri atau indvidu-individu tertentu.

Persoalannya apakah yang menguntungkan dan apa pula yang merugikan? Ada yang menganggap jawatan adalah ukuran muktamad. Kita mesti memegang jawatan Menteri ini dan Menteri itu. Siapa yang menawarkan jawatan-jawatan ini maka kita akan bersamanya! Kita mesti terima dan dengan itu perjuangan kita akan untung. Adakah ini benar?

Yang pasti individu yang menjawat jawatan itu yang untung. Itupun di dunia, diakhirat tak tentu lagi. Dari sudut perjuangan, tidak semestinya. Perjuangan PAS bukan perjuangan untuk jawatan. Perjuangan PAS adalah perjuangan untuk mendidik rakyat berhubung ugama Allah dan bagaimana melalui Islam ini, manusia akan selamat dunia dan akhirat.

Itulah sebabnya bila nak menentukan tindakan mana menguntungkan dan tindakan mana merugikan, kita mesti memahami waqi’ persekitaran kita. Hakikat bahawa kita naik bersama PR mesti diambil kira. Ia sebahagian dari waqi’ ini. Tindakan kita mengkhianati amanat rakyat yang mengundi kita akan merugikan perjuangan kita. Walaupun kita diberi jawatan-jawatan yang dipohon. Kerana kita akan dilihat sebagai wanita jalang yang menerima tawaran tertinggi untuk khidmatnya. Rakyat akan memarahi kita. Sepertimana kita marah Anwar dulu yang hingga kini ada yang masih belum mahu memaafkan beliau. Dan mereka tidak akan percaya lagi pada kita dan menjelang PRU ke 13, kita akan kecundang walaupun kita memegang jawatan-jawatan Menteri sebelum dari itu. Yang paling tidak boleh diterima, Islam akan dilihat sebagai perjuangan yang tidak berprinsip. Adakah kita sanggup melakukan sebegitu? Jatuh taraf perjuangan PAS sehingga menjadi setaraf perjuangan Othman Jailu mengikut pandangan rakyat?

6. Soal Kerajaan Perpaduan Atau Unity Government
Nik Abduh menulis, “Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan – jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Ya, secara selamba jawapan TGNA. Mungkin kerana dia tahu bahawa jawatan yang disebut tidak akan ditawarkan oleh BN. Sepertimana juga penjelasan TGHH, syarat yang pertama untuk konsep ini berjaya adalah keikhlasan – sepertimana yang telah saya huraikan di dalam Persoalan Kerajaan Perpaduan. Kita semua menyedari bahawa syarat ini tidak dipenuhi BN. Cuba lihat, tawaran yang dibuat tidak langsung dihiraukan. Akhirnya kita tarik balik. Kita iklas dan kuathir masalah meruncingnya keadaan politik tanah air. Tetapi BN tidak. Yang meruncingkan keadaan adalah mereka dan memang mereka inginkan ianya meruncing supaya kita akan ketakutan dan hentikan usaha kita untuk menjatuhkan mereka. Supaya kita menjemput BN berdamai dan bersatu, sehingga berlaku perbalahan sesama kita. Akhirnya berkatalah orang, ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’!

Apa yang kita nak gaduh? Tawaran itu tiada yang menerimanya. Kita buat tawaran, orang buat tak tahu lepas itu kita gaduh sesama kita. Kelakar dan pelik bukan? Gaduh sehingga berlaku tuduh menuduh, cakap macam kita tahu apa yang ada di dalam hati manusia.

Lupakan sahajalah persoalan Unity Government ini. TGHH sudah pun tarik balik. Hayatilah keputusan Muktamar tahun lepas di Ipoh dan perkukuhkan PR.

Khalid Samad
WaLlahu ’Alam

Nota: Selesai sahaja menulis, saya dimaklumkan bahawa terdapat susulan dari artikel tersebut yang belum lagi sempat lagi saya baca. Tengoklah dulu, jika ada keperluan dan kesempatan akan diusahakan.

 

 





Husam sedia tawar diri tanding jawatan Timbalan Presiden PAS

30 04 2009

KOTA BAHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan pada muktamar agung parti Jun ini.

Katanya, beliau akan membuat kajian dan pertimbangan daripada pelbagai sudut sebelum membuat keputusan muktamad berhubung kemungkinan itu.

Antara faktor yang akan diambil kira dalam pertimbangan itu ialah harapan ahli yang memerlukan beliau berbuat demikian, sebab-sebab kewajaran beliau perlu bertanding jawatan itu dan arah tuju masa depan PAS terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Faktor-faktor ini perlu saya diambil kira sebelum saya buat keputusan muktamad berhubung pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat pakaian Nur Abadi Garments Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pencalonan yang diterimanya bagi bertanding, Husam berkata, beliau belum menerima maklumat mengenai pencalonan itu.

“Sebagaimana lazimnya, saya tidak suka menonjolkan diri untuk bertanding mana-mana jawatan dalam parti kecuali parti yang memerlukan saya berbuat demikian,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan, segala tindakannya bergantung kepada kepentingan parti yang mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Saya percaya kualiti mulia yang diamalkan ahli PAS masih kekal dalam isu pemilihan pucuk pimpinan parti,” katanya.BERNAMA





Pemilihan barisan pimpinan PAS: Akan adakah kejutan?

28 04 2009

Malaysian Insider, APRIL 28 – Perbualan orang PAS hari ini ialah tentang Mesyuarat Agung Kawasan yang berlangsung dan dijangka tamat pada pertengahan Mei ini. Saya ada menerima beberapa jemputan untuk resmikan Mesyuarat Agung Kawasan tertentu, itu pun beberapa kawasan jemput kerana dah tak dapat ‘top guns’ jadi saya yang kerdil ini pun gantilah!

Ada seorang kawan rapat saya yang selalu jadi penasihat yang tak dilantik pernah bisik kat saya: “ustaz kena terima jemputan resmi kawasan ni pasai masa tu kita boleh promosi kita, yang minta untuk resmi pun ada” sambil ‘penasihat’ bercakap dalam loghat utara yang pekat, saya mengangguk tanda faham, tapi sebenarnya saya tak faham tentang promosi diri kerana satu perkara yang paling berat untuk saya lakukan ialah mempromosi diri sendiri, kalau istilah orang tua kita: “masuk bakul angkat sendiri!”

Tidak seperti Umno cara pemilihan dalam PAS berjalan dalam keadaan penuh berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai ‘mahukan kedudukan’ kerana tok-tok guru PAS ajar pengikut supaya jangan meminta jawatan malah yang meminta itulah yang tidak akan diberi jawatan!

Bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w “Bukan di kalangan ku mereka yang meminta-minta” maka jadinya dalam PAS hanya semata-mata kerana ‘dilihat’ meminta-minta jawatan sudah cukup menjadi satu kepelikan dalam PAS.

Setiap kenyataan yang dibuat dalam dan luar parti berkenaan dengan pencalonannya sudah cukup untuk menghantar mesej yang positif atau negatif kepada ahli. Seorang veteran dalam PAS pernah nasihat saya semasa nama saya dicalonkan untuk AJK PAS Pusat sesi 2005-2007, dia kata “mujahid kena berhati-hati, saya tengok Mujahid boleh pergi jauh biarlah Mujahid menang dengan ‘restu’ , jangan menang kerana ‘dipaksa’ menang”! saya tidak mengerti maksud ‘restu’ yang dimaksudkan tetapi penglaman yang sedikit dalam PAS ini mengajar saya maksud ‘restu’ tadi ialah ‘berendah diri’ sehingga dilihat oleh perwakilan sebagai calon bermoral, seolah-olah moral keperibadian yang tidak meminta-minta jawatan walaupun layak, itulah yang akan menjadi kayu pengukur perwakilan, bukan sekadar sekadar berbekalkan kelayakan.

Kata-kata itu lima tahun yang lalu kembali teriang-riang di telinga saya, dan sekali gus mengenangkan saya kepada tokoh veteran ini yang sudah pun meninggal dunia, moga dia diterima di sisi Allah.

Kini PAS terpaksa mematuhi kehendak perlembagaan parti bagi memilih barisan pimpinan baru, soalannya apakah akan berlaku kejutan?

Saya mengandaikan akan berlaku kejutan dengan line-up baru di peringkat atasan, melainkan Presiden parti, semua jawatan tertinggi yang lain dari Timbalan Presiden, Naib-naib akan dipertandingkan.

Penyandang akan dicabar dengan satu pemilihan yang saya andaikan agak sengit. Mengapa saya berkata demikian?

Pertama kerana harapan orang ramai kepada PAS agak tinggi, berbanding dengan sebelumya, orang ramai tidak berminat untuk melihat siapa yang akan terajui PAS, tapi dengan dua kemenangan PAS di dua PRK minat orang ramai semakin meningkat.

Apatah lagi PAS kini muncul sebagai sebuah parti yang dilihat mempunyai ‘moral standing’ yang tinggi di antara ketiga parti komponen Pakatan Rakyat, malah cakap-cakap PAS akan menjadi alternatif kepada Umno mula ditanggap serius oleh orang Melayu khususnya.

Dalam kekosongan alternatf parti Melayu ini kedudukan PAS menjadi penting dan sudah tentulah pemilihan kepimpinan PAS akan menjadi tumpuan.

Kedua ialah harapan ahli PAS sendiri yang ‘sahamnya’ dilihat ‘melambung ‘tinggi dan dengan itu membuat pilihan kepada kepimpinan yang baru bukan hanya menjadi tanggungjawab tetapi ada unsur nilai strategik yang akan menjadi perkiraan.

Ketiga, bagi rakan-rakannya dalam Pakatan, pemilihan kepimpinan baru akan memberi satu gambaran awal bagaimana masa depan hubungan dengan PAS.

Terakhir ialah persepsi musuh tradisi PAS iaitu Umno, mereka pun mengintai-intai siapa yang akan menerajui PAS, paling ‘menggerunkan’ mereka ialah apabila kepimpinan baru nanti akan dilihat lebih berwibawa dari sudut ketokohan dan kemampuan intelek di mana ini akan menjadi masalah kepada Umno kerana unjuran PAS akan menjadi alternatif kepada Umno bukan lagi khayalan!

Saya melihat dengan alasan tadi kejutan pasti akan berlaku, saya tidak berminat untuk menyenaraikan siapakah mereka yang akan menjadi kejutan dalam Muktamar nanti kerana saya hanya berminat unuk melihat bagaimana proses ‘kejutan’ akan berlaku. Dengan kata lain kejutan kalau berlaku hanya di hujung tetapi yang lebih menarik ialah bagaimana kejutan ini dicipta?

Sebagai AJK PAS Pusat saya bertemu dengan bermacam jenis ahli PAS, ringkas ada dua trend ahli yang dominon dalam PAS, pertama ialah ahli yang terlalu berhati-hati sehinggakan ‘perubahan’ agak sukar menembusi pemikiran mereka, ke dua ialah ahli yang mempunyai keterbukaan untuk mengambil risiko-risiko kepada ‘perubahan’ dalam parti.

Trend in sudah tentu mempengaruhi kecenderungan ahli bagi menentukan siapakah barisan mereka.

Satu hari semasa saya bersembang-sembang dengan seorang kuat media dari lidah resmi Harakah dan Siyasah yang pro PAS, dia melontarkan satu ide yang menarik katanya “ahli PAS ni susah kita nak baca sebab budaya parti ini tak seperti Umno yang terang-terang membicarakan soal barisan kepimpinan, dalam PAS kita hanya dapat isyarat-isyarat yang lemah, itu pun calon-calon yang beraspirasi untuk menjadi kepimpinan tertinggi tak ‘berani’ nak menampakkan hasratnya terang-terangan, inilah masalah kita!’

Lontaran ini menarik dan inilah yang membingungkan Joceline Tan, wartawan politik The Star, dia kerap menghubungi saya untuk ‘korek’ maklumat , tapi berhempas pulas dia ‘korek’ dari saya namun tak berhasil lalu katanya ‘You all memang susah kita nak baca, kami tak dapat nak buat ukuran populariti calon-calon..”

Katanya itu yang mengakhiri perbualan telefon yang panjang menggambarkan memang ‘susah’ dalam PAS nak tengok ‘kehangatan’ pencalonan. Kalau ‘hangat’ pun ia terlalu rahsia!

Tapi apa yang saya boleh saya kongsi dalam tulisan ini ialah, dalam PAS memang ada style mereka tersendiri untuk memilih kepimpinan.

Kalau untuk AJK Pusat, kecenderungan memilih ialah faktor latarbelakang agama samada latarbelakan formal atau tidak formal.

Tidak formal ialah calon itu tertonjol keilmuan Islamnya melalui petikan ayat Quran dan Hadis. Bagi mereka yang tak berapa ada kebolehan ini agak sukar untuk diangkat menjadi AJK.

Ada juga faktor kelantangan dan keberanian di pentas-pentas ceramah menjadi perkiraan. Keberanian menghadiri ceramah yang tidak ada permit , kena ‘tahan’ dan berani ‘lawan’ pihak berkuasa.

Faktor lain seperti keintelektualan, walaupun tidak dominon tetapi sudah mula diambil kira oleh perwakilan dari kawasan-kawasan Bandar.

Untuk jawatan tertinggi seperti Presiden, era kepimpinan ulamak tidakpernah menyaksikan apa-apa pertandingan, manakala Timbalan, style perwakilan masih terikat dengan kecenderungan melihat calon Timbalan sebagai seorang yang ada nama Ustaz. Pernah saya mendengar dari kepimpinan akar umbi yang mengatakan orang nombor dua mesti ulamak juga kerana dia akan menolong Presiden kalau dia tidak ulamak macamana dia nak tegur Presiden?

Trend mengundi ini masih kuat dan belum lagi dicabar kes dahuluan yang sememangnya no 1 dan 2 mesti ada title Ustaz. Mungkin kejutan akan berlaku untuk mencabar amalan ini?

Manakal Naib-naib dipilih mengikut aturan yang secara otomatik disusun oleh perwakilan. Dalam tiga itu seorang mesti ustaz, seorang lagi ‘loyalist’ manaka seorang lagi ada status sosial yang diiktiraf samada populariti atau daya keintelektualan yang tinggi.

Kejutannya pada kali ini ialah kemungkinan susunan ini tidak lagi diambil kira, bahkan bagi memenuhi desakan mahukan perubahan kemungkinan title ustaz tidak lagi menjadi perkiraan, yang menjadi perkiraan ialah ‘performance’ dan ‘achievement’.

Kalaupun kita bleh membaca trend kecenderungan perwakilan, tetapi ia tidak semestinya begitu. Nama-nama calon untuk Timbalan dan Naib-naib turut dilontarkan dengan satu pendekatan yang mudah dan gelihati, iaitu jika ada mana-mana nama sudah mula mendapat satu dua pencalonan, barulah kawasan lain ‘teringat’ nama ini perlu dicalonkan!

Ini yang jenis Kawasan ‘baru teringat’ mereka tidak ada dalam perkiraan mereka kepentingan strategic untuk membawa parti ke tahap yang lebih baik. Ia agak melucukan tetapi trend ini masih ada dalam PAS.

Yang lebih panas ialah spekulasi-spekulasi yang dimainkan oleh media dan penganalisa-penganalisa.

Ada yang di ‘upah’ oleh Umno untuk membuat analisis yang nakal seperti mengatakan ada kumpulan Erdogan yang membawa trend ‘perubahan’, ada yang mengatakan group Erdogan di’taja’oleh Anwar Ibrahim dan ada yang menganggap perubahan kepada kumpulan Erdogan akan menyaksikan berakhirnya style PAS yang ‘ortodoks’ kepada style yang ‘terbuka’ malah Negara Islam langsung tidak ada dalam slogan-slogan kumpulan Erdogan ini.

Bagi saya ini analisis nakal yang akan mewarnai suasana pemilihan dalam PAS pada Muktamar akan datang.

Agak menarik untuk dijadikan sebahagian dari lembaran sejarah PAS dalam era sahamnya sedang menaik, sekurang-kurangnya tulisan ini membantu Joceline Tan untuk membaca dan mengukur populariti calon-calon.

Penulis adalah pemegang PhD dalam bidang pengurusan organisasi dan kini adalah AJK PAS Pusat di samping anggota Parlimen Bukit Gantang.








Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.